‘Ya Allah, susu adik dah habis.
Tapi mama masih tak ada duit masuk. Tiada siapa pun yang buat pesanan kuih.
Macam mana ni dik,’ rintih suara hati Yana. Dia merenung bekas susu yang kosong. Baru
sahaja dia selesai membancuh bancuhan terakhir yang dia dapat dari isi bekas
itu.
Suaminya Razak masih belum pulang. Semalam Razak
pergi memancing bersama teman setaman. Yana tidak pernah melarang Razak
mengikut teman-temannya memancing. Setakat ini, Razak tidak pernah pulang
dengan tangan kosong. Ada saja tangkapan yang di bawa pulang. Kadang kala, ikan
umpan yang tidak habis pun Razak bawa pulang.
Teman-temannya memang tidak pandang lagi ikan umpan walaupun masi elok.
Maklumlah mereka semua orang ada-ada.
Yana tidak putus berdoa agar suaminya pulang
membawa hasil tangkapan untuk kali ini. Jangan pula pulang dengan tangan
kosong. Perginya kali ini tidaklah jauh, jadi tidak menggunakan bot besar.
'Semoga dia dan teman-temannya
dilindungi,' doa tidak putus buat suami sejak semalam.
Yana menyuakan botol susu yang masih suam
kepada si kecil dan membaringkan si kecil di sofa. Yana kemudian masuk ke bilik
dan mengambil tabungnya. Baru saja dia berusaha penuhkan tabung itu sebulan dua
ini. Sedikit-sedikit.
Dia kira jumlahnya. Satu persatu syiling di
susun. Ada beberapa helai duit kertas RM1.
‘Oh, semuanya ada RM30! Alhamdulillah, bolehlah
aku beli sayur sekali.’ getus hati Yana lagi.
Dia yakin akan ada lagi rezeki buat
anak-anaknya. Merengek dan membebel kepada suami bukan caranya. Sebolehnya Yana
tak mahu bebankan fikiran Razak dengan hal-hal begitu. Yana tahu Razak bukanlah
lelaki yang melepaskan tanggunjawab begitu saja.
Ini waktu Razak diuji. Sebagai isteri, dia
perlu taat dan setia supaya suaminya tidak masuk ke lorong yang gelap. Mereka
nekad menjaga perut anak semua dengan rezeki yang halal dan tanpa was-was.
Allah saja yang akan membantu dan menolong mereka dalam keadaan apa pun.
Siap sahaja si kecil menghabiskan susu tadi,
dia mengendong anaknya itu dan capai kunci kancilnya di pintu.
“Along! Mama nak pergi kedai kejap beli susu adik. Jaga adik-adiknya yang lain ya.” Si Along yang baru muncul dari bilik belakang mengangguk.
“Kunci pagar ni,”suruh Yana lagi.Along hanya
menurut arahan.
Di kedai, Yana terus mencapai susu untuk si
kecil dan seikat sayur sawi. Dia teringat gula yang sudah hampir habis di
rumah. Dicapainya satu paket. Sambil itu, otaknya ligat mengira bagai
kalkulator.
Sewaktu membuat bayaran, Nyonya Lim hanya
memerhatikan Yana menyusun duit syilingnya di kaunter.
“Sorry nyonya, saya mahu kasi habis ini
syiling, beg sudah berat,” dalih Yana.
“Yalah, yalah,” begitu jawab nyonya. Seakan
tidak percaya dengan kata Yana. Nyonya Lim bukannya tidak mengenali Yana. Kedai
Nyonya Lim itu sudah menjadi tempat persinggahan harian Yana sejak hari pertama
mereka duduk di kawasan itu.
Dari waktu Yana berbelanja dengan not RM50
setiap hari, sehinggalah kini, sering membawa duit hancur. Not lima ringgit,
not seringgit dan syiling sudah menjadi kebiasaan.
Jika dulu datang ke kedai menaiki Benz, kini
hanya dengan kancil buruk. Nyonya Lim saksikan semua itu. Namun dia tidak
pernah membuka mulut untuk ambil hal tentang Yana. Itulah antara sebab mengapa
Yana sering berbelanja di kedai Nyonya Lim.
Jika ke kedai Haji Salim, segala soalan akan di
tanya. Rimas. Selesai membayar, baki yang tinggal hanya tiga puluh sen. Yana
tersenyum kelat. Dia sedikit mengeluh. Kemudian dia rasa tersentap sendiri.
‘Astagfirullah, ya Allah, ampunkan aku jika aku seperti mengeluh. Tabahkan aku ya Allah. Tingkatkanlah kesabaran aku,’ bisik hatinya sambil melangkah ke kereta.
Malam itu, Yana masak sayur sawi yang dibeli
tadi. Di gorengnya sawi itu dan di tambah dengan telur dadar sebagai hidangan
tambahan. Berselera anak-anaknya makan. Sedang makan bersama anak-anaknya, dia
mendapat panggilan dari suami.
“Abang balik lambat. Bot rosak di tengah laut ni. Bateri telefon pun dah nak mati,” panggilan dimatikan tanpa sempat Yana bertanya apa-apa lagi.
Berderau darahnya. Jantung mula berdegup
kencang. Seleranya putus. Tangannya berhenti menyuap. Allah! 'Lindungilah
suamiku dan sahabatnya semua Ya Allah!'
Yana tidak mampu untuk habiskan baki nasi di
dalam pinggannya. Namun dia paksa juga agar tidak menunjukkan contoh kurang
baik kepada anak-anak. Terkulat-kulat dia mengunyah. Terasa seperti menelan
batu. Payah. Selesai makan Yana terus ke depan. Mengemas, membasuh pinggan
mangkuk semua Along yang selesaikan bersama Angah. Yana sudah hilang rasa.
Fikirannya serba tak kena.
Yana duduk menghadap timbunan baju dan mulutnya
tidak henti mengucapkan Hasbiallah Wani’mal wakeel, fa Ni’mal Maula
Wani’mannanasiir. Jantungnya sentiasa berdebar-debar. Semakin lama semakin
kencang. Fikiran buruk cuba hadir di minda namun segera dia beristighfar dan
menepis.
Sesekali dia menyeka airmata. Risau. Apa
agaknya yang dihadapi si suami di tengah lautan. Elokkah cuaca? Ombak kuat atau
tidak? Berapa jauh dia dari daratan? Di waktu gelap begini, apakah situasinya
di sana ya Allah!
Ah! Makin difikir makin mencengkam jiwa. Runsing tak kurang juga.
“Mama kenapa, dari tadi nampak sedih je. Makan pun sikit,” suara Along mengejutkan Yana.
Along menghampiri Yana dan duduk di sebelahnya. Tangan Along pantas mengambil sehelai baju dan dilipatnya.
“Tak ada apa. Along tak de homework ke?” Yana cuba mengalih tajuk cerita.
“Along kan tengah ujian, mana ada homework ma,” balas Along sambil tangannya masih pantas melipat baju.
“Angah mana ni?” soal Yana pula.
“Gosok baju. Esok pakai baju kurung.” Jawab Along laju.
Yana mengangguk. Si kecil Icha khayal bermain dengan beberapa helai baju di hadapannya. Yana cukup syukur sebenarnya kerana dua orang anaknya itu sudah banyak sangat membantunya dari segi kerja rumah. Pada usia 12 dan 11 tahun, mereka sangat berdikari dan tangkas membantu di rumah.
“Abang Adam mana?” Yana seolah baru teringat satu-satunya anak lelaki dia dan suami.
“Dah tidur. Lepas makan terus lena. Letih sangat tengok muka dia tadi,” kata Along lagi sambil matanya menjeling ke arah bilik belakang.
“Tak pe lah. Dia dah makan. Dahlah, Along tidurlah. Dah pukul berapa ni,” ujar Yana bila dia menyedari jam sudah hampir ke pukul 10.30 malam.
Along bangun dan menuju ke bilik selepas meninggalkan pandangan penuh tanda tanya kepada Yana.
Sebenarnya, dia berusaha menyembunyikan resah
hati yang dari tadi semakin sarat. Dia tidak mahu anak-anak tahu kerisauan yang
ada dalam fikirannya. Padahal jantungnya seakan mahu meletup. Panas di
kepalanya seakan ingin meletuskan lahar. Teramat risau!
‘Bagaimana agaknya keadaan suami aku,’ ayat itu berulang-ulang dalam fikiran. Mulutnya terkumat-kamit melafaz zikir Hasbiallah Wani’mal Wakeel, fa ni’mal maula wanni’mannasiir.
Icha sudah mula merengek. Pasti sudah mengantuk. Yana menghentikan kerja melipat kain baju. Dia membawa Icha ke bilik dan menidurkan Icha sambil bibirnya masih mengulang zikir yang sama.
Jauh di sudut hatinya, dia hanya memohon Allah pelihara suaminya, berikan pertolongan di saat tiada lagi pertolongan yang boleh diperolehi selain dari Allah. Sambil membayangkan bot suami yang teroleng-oleng di tengah laut, tanpa boleh menghubungi sesiapa, hatinya merintih.
‘Allah, sesungguhnya aku berserah hanya pada-Mu!’
Tanpa sengaja Yana terlelap. Dia terjaga bila terdengar suara orang memberi salam. Bergegas Yana bangun dan membuka pintu.
“Ya Allah! Alhamdulillah!” hanya itu yang mampu dilafazkan Yana bila yang berdiri di depan pagar rumah itu adalah suaminya.
‘Allah dengar doa aku! Allah tolong suami aku!’ bisik hati Yana sambil bersegera membuka pagar dan terus memeluk suaminya.
“Eh, abang kotor ni. Bagilah abang masuk dulu. Tu ada orang tu.” kata Razak sedikit berbisik. Yana tersipu malu bila terlihat ada dua lelaki sedang memunggah ikan dari belakang Hilux milik Faizal, teman Razak.
“Macam mana abang boleh sampai cepat? Tadi abang call masih di tengah laut?” tanya Yana tanpa menghiraukan kawan-kawan Razak yang memerhati.
“Tak lama lepas abang call Yana tu. Ada satu bot datang dekat. Botnya besarlah dari bot kami. Jadi, mereka tolonglah kami. Abang pun tak pasti macam mana boleh diorang ke situ. Padahal jauh juga kedudukan bot diorang tu dengan bot kami. Lampu kami pun tak hidup,” jelas Razak sambil memunggah barang-barangnya keluar dari Hilux.
Yana yakin itulah pertolongan Allah. Memang tiada pertolongan lain buat kita hamba-Nya melainkan dari Allah.
Bulat mata Yana melihat hasil tangkapan yang ada. “Banyaknya bang!” katanya sedikit terjerit.
Razak tersenyum lebar. “Alhamdulillah. Nak bawak balik nilah Allah uji tadi. Rezeki ni yang,” kata Razak dengan wajah penuh syukur.
“Semua ni bahagian abang ke?” tanya Yana lagi seperti tidak percaya melihat longgokan ikan itu.
“Iya lah. Dia orang punya ada lagi tu, banyak dalam tong tu.” kata Razak lagi.
‘Syukur ya Allah. Berhari-hari lah aku boleh rehat dari fikir nak masak apa. Tak perlu fikir nak beli lauk apa,’ getus hati Yana sambil mengulum senyuman.
Saat itu juga Whatsappnya berbunyi.
“Kak, saya dah masukkan duit ya. RM100. Nak order kuih yang saya cakap hari tu. Esok saya mesej detail.” – begitu mesej dari Farah.
‘Allahu Akbar! Alhamdulillah ya Allah!’ jerit suara hati Yana.
Yana hanya mampu mengucapkan alhamdulillah berkali-kali sehingga pipinya basah dengan air hangat yang mengalir.
Benar. Cukuplah Allah sebagai Penolong buat kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung..
Kisah ini adalah kisah benar. Ia menunjukkan
betapa Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya yang sabar dan tawakkal.
Allahu al-Musta’an.
Allah itu Tuhan Yang Melimpah-limpah rahmat-Nya,
yang dipohonkan pertolongan-Nya.
T.A.M.A.T

