“Besarnya perut awak kali ni ye yang.”
Kata Amar sambal merenung perutku yang semakin membulat.
“A’ah bang, bayangkan, hari tu baru 8
bulan dah 2.2 kg anggarannya. Esok check up, entah berapalah berat anggarannya nanti.
Anak yang dulu-dulu tak macam ni, sakit sangat rasa pinggang ni.”
Amar senyum memandang ke arah ku. Aku
mengerti senyumannya. Dia gembira. Keluarga kami semakin membesar. Dia sudah
punya tiga orang anak perempuan dari perkahwinannya sebelum ini. Isterinya
meninggal dunia lebih kurang 12 tahun lalu. Bersama aku, kami telah dikurniakan
dua anak perempuan. Aku dan dia hidup tenang bersama semua anaknya di dalam
satu rumahtangga yang normal.
Aku meninggalkannya dan keluar untuk
menyambung kerja-kerja mengemas. Amar pula terus ke bilik mandi untuk
membersihkan diri.
Sedang aku khusyuk mengelap meja
makan kesayangan Amar, aku tersentak dengan deringan telefonnya yang ada di
atas meja itu. Ada mesej. Ku capai untuk memberikan kepada Amar dan sempat ku
lihat nama yang tertera, SM012. Aku tahu siapa itu, Siti Maslinda. Amar masih
di dalam bilik mandi. Hampir aku menekan butang Read. Tapi aku yakinkan diri,
aku wajib amanah dengan suamiku. Biarlah Allah yang mengawal segalanya. Aku
beristighfar untuk menenangkan diri dan menyambung kerjaku. Tak sampai berapa
minit, telefon itu berbunyi lagi, tapi kali ini panggilan, dari orang yang
sama. Bergegas pula Amar keluar dari bilik untuk mendapatkan telefonnya.
Deringannya mati.
‘Nak apa agaknya anak dara tu dengan
laki aku,’ getus hatiku
Aku biarkan gelagat suamiku yang
sedang cuba menghubungi SM semula. Aku cuba mengawal gejolak hati yang mula
bergelora. Ku ingatkan semula diriku sendiri, ‘jika satu hari nanti hubungan
mereka hingga ke peringkat pernikahan, aku mesti terima dengan redha. Siapalah
aku untuk menghalang. Ya Allah, semoga aku mampu menerima takdirMu.’
Aku berjaya mengawal emosi,
Alhamdulillah. Amar yang sudah bersiap untuk keluar, cuba bergurau senda
denganku. Mungkin dia rasa bersalah dan risau aku akan terasa hati. DugaanMu ya
Allah, sedangkan, baru semalam kami meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang
ke 8. Bila Amar selesai menyarung kasut dan kami bersalaman, telefonnya berdering
lagi, dan dia terus masuk ke dalam keretanya lalu menjawab panggilan itu. Entah
kenapa, aku yakin itu panggilan dari SM. Hati tercuit lagi. Ingin tahu, apakah
yang dimahukan dari suamiku? Ahh, lantaklah.
Hilang kelibat Amar, aku terus
menghadap PC di bilik kami. Aku terus melayari Facebookay. Aku curi-curi baca
di wall SM. Oh, dia hendak menaiki flight dari Kuching Sarawak ke Johor Bahru. Baru
balik dari satu acara sukan.
‘Telefon tu, nak mintak abang jemput
dia ke?’ Fikirku. Ah! Kenapalah aku termakan lagi pujukan syaitan, tak
sepatutnya aku buat macam ni. Biarlah apa yang suami nak buat, bukannya aku
mampu melarang. Tak mahu aku menjadikan perkara yang belum pasti sebagai punca
pergaduhan. Aku tak pernah bertekak dengan Amar kerana orang lain. Jadi aku
mahu kekalkan rekod itu.
Cuma, terdetik di hatiku, kenapa aku
selalu kata, aku redha jika suami ingin berkahwin lagi, sedangkan baru sedikit
dugaan seperti ini, aku sudah seperti cacing kepanasan. Sebenarnya, aku mungkin
akan lega jika suami bersikap jujur padaku, mengatakan dia ada teman wanita
yang mungkin menjadi madu ku. Sesekali aku kesal kerena pernah senyap-senyap
membaca perbualan mereka di facebook suamiku. Mereka saling melafazkan rindu.
Hampir gugur jantung ini ku rasakan. Namun aku bersyukur aku masih mampu
berlagak selamba dihadapan suamiku. Teringat pada suatu hari, aku sengaja
menduga suamiku,
“Girlfriend abang yang dekat facebook
tu olahraga ye?” ku lihat Amar kaget, tapi cuba mengawal dirinya.
“A’ah. Mana awak tahu?” soalnya
berlagak selamba.
“Dia satu kumpulan dengan classmate
Aisyah dekat sekolah dulu. Dia ada tag classmate Aisyah tu dekat gambar dia.”
“A’ah, dia budak sport. Girlfriend
yang gonjeng.” ujarnya dengan senyuman. Ya Allah! Betapa aku cuba mengawal
emosi dan sebak di dada. Aku sedih kerana dia tidak pernah bercerita padaku
tentang perempuan itu.
“Mana awak tahu abang ada girlfriend
dekat Facebook? “
“Ooohh…. Dah lama dah. Hari tu kan
Abang bagi Aisyah pakai telefon abang tu. Aisyah cuba nak padamkan semua sms
yang dah sarat dalam inbox dan sent messages tu, tapi kena delete satu-satu
pulak, sebab dia tak ada option mark. Takut terdelete sms yang penting. So,
Aisyah terjumpalah beberapa SMS abang untuk dia.” Ujarku seselamba yang boleh,
walaupun hakikatnya, hati ini bergetar hebat mengingati apa yang tertulis dalam
rangkaian SMS itu.
Amar terus diam dan terus keluar. Dia
agak tidak selesa untuk beberapa hari selepas itu. Aku dapati, dia telah
memadamkan semua perbualannya di facebooknya. Adakah kerana rasa bersalah atau
apa, aku tidak tahu. Aku pun tidak pernah lagi bercerita tentang semua itu
dengannya. Aku sebenarnya mengharapkan dia yang akan bercerita.
Ada satu perkara yang aku tidak
faham. Wanita seperti SM ini, yang berkenalan dengan lelaki melalui facebook,
mengapa mereka tidak berfikir panjang? Sedangkan di profile suami,
terang-terang sudah menunjukkan status berkahwin dan ada juga namaku di situ.
Boleh saja dia menambah aku sebagai rakan facebooknya. Jadi pada aku, dia
kurang jujur. Amar seorang lelaki yang suka mengusik perempuan. Walaupun ketika
aku bersamanya. Tapi, bila perempuan yang diusiknya bertindak selamba atau tidak
melayan, dia pun tidak kisah dan buat tidak tahu saja. Dia cuma menghiburkan
dirinya. Aku sangat faham perangai suamiku. Tapi, SM pula suka melayan. Dia
memberikan respon yang membuatkan suamiku rasa muda semula. Dia membalas semua
ucapan romantik dari Amar. Memang Amar yang memulakan.
Pada tahap ini, aku tidak marahkan SM,
tapi jika dia berfikir panjang, selepas melihat suamiku berstatus “berkahwin”,
seharusnya dia menjaga dirinya dan maruah wanita. Sepatutnya dia mula
membataskan perbualan. Seharusnya dia meletakkan dirinya sebagai isteri lelaki
itu. Apakah rasa isterinya jika mengetahui perkara ini. Bagaimana jika suamiku
hanya ingin mempermainkan dia? Dia mahu salahkan suamiku sepenuhnya juga?
Aku juga tidak boleh membantah jika
suami ingin mengahwininya, tapi, jika dia tidak serius dengan hubungan itu,
macam mana? Aku juga takut suami tidak adil dalam melayari rumahtangga
berpoligami, kerana permulaannya saja sudah mula berahsia. Apa pun, aku tidak
mahu buruk sangka. Aku masih cuba bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dalam
keadaan sarat begini, rutin harianku aku teruskan dan cuba menghindarkan buruk
sangka kepada suami.
Memang aku tidak menghalang dia
berpoligami. Carilah wanita yang baik atau yang susah, yang faham tatacara
hidup berkongsi kasih, dan tahu menghormati keluarga suami. InsyaAllah,
poligami itu mampu memberikan kemanisan madu yang berpanjangan. Jika isteri-isteri
tidak dapat bekerjasama, mungkin suami pun tidak dapat merasakan kemanisannya.
Hari kelahiran anak ini rasanya
semakin hampir. Aku sudah mula merasakan sakitnya. Namun masih cuba memenuhi
tugas harianku semampu dan sekuat yang boleh.
Di satu malam yang hening, aku mula
terasa kembang kecutnya rahim. Hujung ari-ariku sudah mula rasa seperti
mengembang. Pergerakan bayi juga semakin kurang, sebaliknya dia sentiasa
mengeras. Aku mula menelefon ibuku dan ibu mertuaku. Ku pohon ampun dari
mereka, ku pohon mereka halalkan semua untukku. Aku juga memohon doa dari
mereka untukku.
Ya ALLAH! Sakitnya tak dapat ku tahan
lagi. Malam itu aku cuba tidur, kerana belum ada tanda-tanda seperti keluar
darah atau air ketuban pecah. Suamiku nyenyak tidurnya, aku pula tidak boleh
berbaring lagi. Aku tahan lagi sakit itu walaupun airmata sudah membasahi pipi.
Bibir ini tidak henti berselawat, berzikir dan membaca surah Al Insyirah.
Serasa bagai mahu menjerit sekuatnya dek kesakitan yang tidak tertanggung.
Subuh kian hampir. Aku tidak mampu menanggung lagi. Bayiku juga semakin kuat
mengeras. Terasa bagai mahu pecah perut ini dan sakit di bahagian ari-ari juga
tidak tertanggung. Ya Allah! Berikanlah aku kekuatan!
Ku gegar badan suami.
“Abang, sakit sangat ni…”
Suami terkejut dan terus bangun.
“Nak ke hospital sekarang?” aku
angguk lemah. Dia bergegas bangun. Bersiap, mencapai apa yang patut, dan
berpesan kepada anak sulungnya untuk menguruskan segala urusan di rumah.
Dalam perjalanan ke hospital, aku
terus membasahkan bibir dengan zikir dan bacaan surah Al Insyirah. Sampai di
kaunter pendaftaran bilik saringan, sempat ku cium tangan suamiku,
“Abang, ampunkan salah silap Aisyah
ye…Halalkan semuanya, redhailah Aisyah ye bang….”
“Ye, abang ampunkan, abang redha.
Sabar ye.” Amar mengucup dahiku perlahan.
Aku terus di bawa ke bilik saringan
untuk diperiksa oleh doktor.
“Bukaan puan sudah 8 cm! Hantar puan
Aisyah ke labor room sister!”
Aku mula berjuang antara hidup dan
mati. Betapa kesakitan itu cuba ku letak ke tepi untuk melahirkan seorang lagi
zuriat hasil cinta aku dan Amar. Sesungguhnya Allah saja yang mengetahui betapa
dahsyat sakit yang aku rasakan. Dengan bantuan bidan dan seorang doktor, dalam
masa hanya 45 minit, aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki,
satu-satunya putera dalam keluarga kami. Alhamdulillah! Hasrat aku tercapai!
Hasratku untuk memberikan anak lelaki kepada Amar dimakbulkan Allah. Syukur Ya
Allah!
Amar masuk dengan agak terkejut. Terkejut
kerana agak cepat proses melahirkan kali ini. Dia terus mendukung anak kami
yang telah dibersihkan dan terus mengazankan bayi comel itu. Ya Allah.
Airmataku sudah tidak mampu tertahan lagi. Amar senyum dan datang kepadaku dan
terus mengucup lembut dahiku. Penuh syahdu dan terasa amat sayu ketika itu.
Selesai semuanya, aku dihantar ke wad. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Aku
lega, semuanya sudah selesai. Hanya kini aku perlu melalui proses berpantang.
Tidak lama kemudian Amar dan anak-anak ku sampai. Oh, aku gembira melihat
semuanya ada di sini. Mengelilingi ahli baru dalam keluarga. Amar kelihatan
sangat gembira. Ya Allah! Jika aku mampu memiliki rasa gembira seperti ini
sehingga ke akhir hayatku!
Sedang saat-saat penuh makna itu ku
lalui, telefon amar berdering, tanda ada panggilan. Ku lihat Amar teragak-agak
untuk menjawab. Dia menjawabnya jauh dari kami. Aku mula tersentuh dan
terdetik, mungkinkah SM yang menelefon? Kenapa mesti di saat ini? Dia hendak
bertanya khabar tentang aku kah? Jika betul, kenapa mesti Amar berbicara
dengannya secara sembunyi? Ah! Tidak mahu lagi aku fikir, nanti, aku menangis
pula di hadapan-anak-anakku.
Ku belek-belek wajah bayiku. “Ya Allah!
Semoga anak ini akan menjadi penguat kasih antara aku dan Amar!”
Setelah semalaman aku dan bayi di
hospital, aku pun dibenarkan pulang oleh doktor. Aku menelefon Amar untuk
mengkhabarkannya tentang itu. Setelah aku bersiap-siap, aku menerima panggilan
daripada Amar.
“Aisyah, abang minta maaf ye, nanti
Sara yang akan jemput Aisyah dari hospital. Suruh dia selesaikan semua. Abang
dah bagi dia duit lebih tu. Abang ada urusan penting ni. Tak dapat nak elak,
takut tak sempat pulak. Nanti, lama pula Aisyah nak kena tunggu Abang. “
Aku seperti terkedu. “Ye bang.” balasku lemah.
Dalam 45 minit, Sara, anak sulung
Amar sampai. Setelah dia selesaikan semuanya, kami pun pulang. Di rumah, ibu
mertuaku sudah siap sedia menyambut kepulangan aku dan bayi. Semalam, Amar
sempat menjemput ibunya dari kampung.
“Amar kemana sebenarnya? Kenapa Sara
yang kena jemput pula? Dia ada urusan apa?” tanya emak sebaik aku selesai
menidurkan bayiku.
“Entahlah mak, dia kata penting.
Jumpa customer agaknya.” Emak menggeleng-geleng kepala.
Sepanjang seminggu ibu mertua menjaga
aku. Luka pun sudah hampir pulih. Aku juga sudah beransur sihat selepas
mendapat khidmat urut badan dari Kak Jah, tukang urut di kawasan ini. Namun masih
terasa sakitnya. Biasalah tu. Habis tempoh pantang, sembuhlah sepenuhnya.
Inikan anak yang ke empat. Aku sudah biasa melaluinya.
Amar nampaknya sibuk benar. Nampak
macam banyak betul urusan sepanjang aku berpantang ni. Maklumlah, biasanya, aku
akan menguruskan hal anak-anak dan pejabat selain dari rumah. Kini, hanya dia
dan Sara yang menguruskan semuanya. Dia Nampak tenang dan sentiasa gembira.
Mungkinkah kehadiran bayi lelaki ini yang menjadikannya begitu? Entahlah.
“Hari ni, abang nak hantar mak balik
ye. Awak ok kan? “
“Ok lah bang. Tak pe. Mak memanglah
tak boleh lama. Lagi pun Aisyah dah boleh uruskan Aqil sendiri. Kesian mak. Mak
pun bukan sihat mana nak tolong Aisyah kat rumah ni. Biarlah mak balik dan
rehat di rumah dia.”
“Okay. Abang balik petang ni juga.”
Kami bersalaman, dahiku dikucup. “Hati-hati bang.”
“Mak balik dulu ye. Jaga anaknya
baik-baik. Engkau pun jangan tak makan Aisyah. Pantang betul-betul.” Pesan emak
sebelum masuk ke kereta.
“Ye mak, Terima kasih sebab sudi jaga
saya dan cucu-cucu mak ni.” Mak senyum dan mengangguk.
Kereta Amar terus meluncur laju
meninggalkan rumah. Selepas Sara menutup pagar, aku terus masuk ke bilik. Agak
terkejut kerana ternampak salah satu telefon Amar tertinggal. Lampunya
berkelip-kelip. Ada SMS yang belum di baca. Aku terus membaca SMS itu supaya
aku tahu ia penting atau tidak untuk memberitahu Amar. Ah! Dari SM.
‘Saya dah sampai umah. Lau sempat,
nak jumpa, leh tak?’ Tulisnya.
Aku jadi serba salah. Kalau aku
beritahu pada Amar, apa perasaan dia ye? Aku pasti dia rasa bersalah padaku.
Aku tidak mahu dia rasa begitu. Tapi, jika aku tidak beritahu, dia akan tahu
juga yang aku sudah membacanya.
Aku lantas menelefon Amar.
“Ye lah yang. Telefon abang
tertinggal. Abang dah masuk highway lah.
Jauh nak u turn. Tolong jawabkan ye kalau ada orang call. “
“Okey bang. Tadi ada SMS.”
“Tengokkan dari siapa ye? “
“Mmmm…dari SM012, katanya, dia dah
sampai rumah, dia nak jumpa kalau abang sempat.” Aku Berjaya mengawal emosi.
“Oh… Okeylah.” jawabnya dalam nada
suara seperti menahan rasa terkejut, dan terdengar seperti bergetar.
“Kalau dia call, nak Aisyah jawab ke bang?”
“Err… jawablah. Cakap telefon abang
tertinggal…eh… er… tak payah jawablah…. Er….”
“Kalau macam tu, Aisyah tak jawab. Kalau
kawan-kawan yang Aisyah kenal je Aisyah jawab.”
“Okey, terima kasih,” ada getar
bersalah dihujung suaranya itu.
Talian kuputuskan. Aku duduk di sisi
Aqil, bayiku. Anak-anak yang lain sedang
membuat aktiviti masing-masing. Mataku mula berkaca menahan sebak. Aku hanyut
dalam kenangan lalu. Kenangan di mana hebatnya dugaan dalam cinta aku dan Amar.
“Ya Allah, aku telah lelah dengan
perasaan yang tidak menentu ini. Aku tidak mahu lagi hidup dalam dunia yang
hanyut. Jika ada jodohku di dunia ini, kau percepatkanlah kehadirannya. Aku
redha walau siapapun yang kau takdirkan menjadi suamiku.”
Itulah doaku setiap kali usai solat. Aku
ditemukan dengan Amar tidak berapa lama kemudian. Kami berkenalan kerana
perniagaan. Pada awalnya, aku agak ragu dengan Amar.
“Dia nampak macam gangster je. Lepas
tu kan, nampak sangat macam orang dah kahwin tau.” Luahku pada anak buahku yang
paling rapat.
“Mak Su suka kat dia ke? “
“Hish, tak kot. Tapi dia tu macam
mengurat Mak Su je tau. Lepas tu, Mak Su asyik teringat aje kat dia. Entahlah
Umi…”
Satu hari, Rafi, pembantu Amar
bercerita tentang Amar kepadaku.
“Abang Amar tu duda anak tiga. Dah 4
tahun orang rumah dia meninggal. Kesian tengok dia. Tiap minggu ulang alik dari
sini ke kampung untuk melihat anak-anaknya. Mak dia yang jaga anak-anak dia.”
“Ooo……macam tu rupanya.”
“Dia memang nampak ceria aje kan.
Tapi dalam hatinya, Allah aje yang tahu Aisyah,” ujar Rafi lagi.
“Satu perkara lagi yang penting.”
“Apa dia? “
“Abang Amar tu suka kat Aisyah. Dia
tak pernah rasa macam tu kat perempuan lain selepas arwah isterinya. Rafi pun
tak pernah tengok dia macam tu.”
Aku terdiam. Aku pula masih belum
pasti tentang perasaan aku padanya. Namun, hubungan kami semakin rapat bila
kami mula membina satu perniagaan baru bersama. Dia seorang yang sangat
berkarisma dalam berniaga. Dia sangat tegas dan cukup berdisiplin dalam menjayakan
apa yang dia mahu. Namun hatinya juga lembut. Dia mudah memaafkan orang yang
ada disekelilingnya. Dia juga sangat jujur. Hingga suatu hari, dia menunjukkan
kepadaku gambar arwah isterinya serta anak-anaknya dan sijil kematian arwah
isterinya.
Satu hari, ada urusan yang perlu kami
uruskan berkenaan perniagaan, dan kami keluar bersama. Selesai urusan, dia
membawa aku bertemu dengan anak-anaknya. Kami berkenalan, dan aku seronok
melihat hubungan mereka anak beranak. Sangat mesra.
“Mereka nampaknya macam suka aje
dengan awak,” ujar Amar semasa kami dalam perjalanan pulang.
“Ye ke?”
“Iya. Dulu, ada juga abang kenalkan
dengan dua tiga perempuan lain. Semua kena reject dengan anak abang. Kalau anak-anak
abang tak suka, abang pun tak boleh terima.”
“Maksud abang?”
“Maksudnya, kita dah dapat lampu
hijau dari anak-anak abang,” senyumnya meleret.
Aku pun rasa gembira juga. Aku
sebenarnya sudah mula suka pada Amar.
Namun ada kerisauan di hatiku. Bagaimana dengan penerimaan keluargaku
nanti? Mereka memang sudah mengenali Amar, sebagai rakan perniagaanku. Tapi itu
saja. Mereka tidak mungkin menyangka jika aku mahu memilih Amar sebagai bakal
suamiku.
Bila satu hari aku menyuarakan
hasratku, jelas sekali tentangan hebat aku terima dari keluargaku. Mereka mula menyelidik
tentang Amar dibelakangku. Malangnya, maklumat yang mereka dapat, tidak tepat
sama sekali. Mereka telah diberitahu bahawa isteri Amar belum meninggal dan
Amar seorang kaki perempuan dan gangster. Dari maklumat itulah mereka
menghalang hubungan kami. Walaupun puas aku tegaskan yang aku telah melihat
sijil kematian arwah isterinya, aku juga sudah menziarahi pusaranya dan aku
juga telah bertemu dengan anak-anak Amar, tidak seorang pun mahu percayakan
aku. Remuk rasa hati ini!
Aku bukan sedih kerana tidak mendapat
restu dari keluarga, tapi aku sedih kerana mereka lebih percaya orang luar dari
diriku sendiri. Pergolakan dalam keluarga kami jadi semakin meruncing. Sehingga
pernah aku terdengar yang mereka mahu mengurung aku di rumah, dan tidak mahu
aku keluar. Bagaimana dengan perniagaanku nanti? Ianya baru mula berkembang dan
mendapat sambutan yang amat positif. Perkembangannya sangat menaikkan semangat
aku. Kalau tak suka aku berhubungan dengan Amar pun, janganlah sampai bertindak
hendak mengurung aku macam budak kecil. Aku sudah berusia 23 tahun!
Satu hari, aku mendapat khabar, orang
kampungku cuba mengepung Amar dan mahu ‘mengerjakannya’. Ya Allah! Apa salahnya?
Aku tidak faham. Puas aku terangkan secara baik namun tidak dipedulikan. Aku
cuba dapatkan khidmat kanuseling di jabatan agama. Banyak penjelasan,
pengajaran dan pilihan jalan penyelesaian yang diberikan oleh Ustaz Zafiruddin.
Akhirnya, aku bertekad untuk tetap
berkahwin dengan Amar, memandangkan telah banyak modal wang ringgit aku
laburkan dalam perniagaan kami. Itu bermakna, aku dan dia perlu bertemu setiap
hari atas urusan perniagaan. Bagaimana pula kami nanti mengawal hati dan nafsu? Tak mungkin aku menghentikan perniagaan ini
begitu sahaja, kerana sebahagian besar modal yang aku perolehi ialah dari wang
simpanan ayah! Itupun, bukan aku yang meminta, tapi ayah yang memberinya.
“Ayah tak kisah, kau nak kahwin
dengan duda ke siapa ke, tapi ayah tak suka keluarga kita bergaduh-gaduh. Kalau
boleh, carilah orang lain….”
Aku terkedu. Ayah memang dari dulu
banyak mengalah dengan kehendak mak dan abang-abangku. Ayah paling tak suka
bertelagah dengan keluarga sendiri. Namun, kerana terlalu yakin yang Amar mampu
membimbingku menjadi peniaga yang baik dan juga isteri yang baik, aku tekad
juga. Telah ramai lelaki yang aku kenali yang hanya tahu mengharapkan cintaku,
tapi tidak cuba membimbingku. Dengan Amar, aku mampu rasa selamat, dan rasa
terdidik. Aku juga rasa hormat padanya.
Pernah aku putus asa, dan ingin pergi
meninggalkan semuanya. Meninggalkan Amar, meningglkan perniagaanku, meninggalkan
keluargaku. Aku ingin pergi membawa diri. Tapi aku sedar, aku tidak boleh lari
dari masalah. Aku mesti menyelesaikannya. Amar juga pernah menitiskan airmata
bila aku memutuskan untuk menghentikan segalanya.
“Sabarlah. InsyaAllah, ada jalan
keluarnya. Abang sudah terlanjur teramat sayang pada Aisyah. Tak mungkin abang
nak tengok macam tu aje. Apa abang nak cakap dengan anak-anak abang yang dah
mula menerima awak? Mana abang nak cari orang yang mereka suka lagi?” luah Amar
dengan airmatanya yang pertama kali kulihat mengalir dipipi.
Dalam keadaan itu, pelbagai tohmahan
orang kampung lemparkan kepada kami. Maklumlah, di pejabat yang aku sewa di
dalam kampungku itu, hanya aku saja perempuan, dan pekerja lain semuanya
lelaki. Aku sebagai pengurus perlu mengagihkan gaji mereka yang dibayar secara
harian setiap hari, walaupun mereka sampai ke pejabat pada pukul 10 malam. Dari
keadaan itu, pelbagai fitnah yang melanda.
Akhirnya, kerana tidak mahu fitnah
antara kami berlanjutan, kami bernikah dengan mendapatkan perintah dari pejabat
Qadhi. Aku terasa kesal kerana mengecewakan keluarga, namun aku perlu terus
menghadapi keputusan yang aku pilih.
Selama hampir dua tahun aku tidak
pulang bertemu keluarga kerana keengganan mereka menerima Amar. Aku melahirkan
anak pertama juga, tanpa pengetahuan ibu bapaku. Namun aku tidak pernah
sekalipun menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Aku hanya menyalahkan diriku
sendiri.
Namun begitu, aku juga bersyukur
kerana menikahi Amar. Dia telah membentukku menjadi wanita yang lebih baik dari
diriku dulu. Aku amat patuh kepadanya, dan semakin baik sebagai seorang
muslimah. Semakin dalam ilmu agama yang aku pelajari dari Amar. Aku mahu
menebus kesalahanku pada kedua ibu bapaku. Isteri yang solehah adalah anugerah
kepada ibubapanya. Aku cuba menjaga keperibadianku sebagai muslimah sebenar.
Aku tidak pernah sebut atau mengungkit soal keluargaku dihadapan Amar. Aku
tidak pernah meminta-minta untuk pulang menjeguk ibu bapa walau di hati ini
meronta-ronta kerinduan. Itu semua kerana aku yakin, satu hari nanti, Allah
akan permudahkan segalanya.
Sehinggalah suatu hari, Abang
sulungku tiba-tiba muncul dipagar rumah. Kami bertemu dan berpelukan dalam esak
tangis kerinduan. Ya Allah! Rindu dan sayangnya aku kepada keluarga ku, hanya
Kau yang tahu! Namun, aku tidak dapat menjemput mereka masuk kerana Amar tiada
di rumah.
Kepulangan Amar hari itu ku jamu
dengan kisah pertemuan itu. Alhamdulillah, Amar gembira dan dia terbuka dalam
hal itu.
“Kalau keluarga awak datang lagi,
jemputlah masuk. Abang izinkan.”
Sejak itu, pertemuan demi pertemuan
terjadi. Akhirnya, Amar mengizinkan aku pulang ke rumah ibubapaku. Ya Allah!
Betapa pertemuan itu sangat mengharukan! Hubungan persaudaraan kami kembali
terjalin, dan mereka juga nampaknya sudah mula cuba menerima Amar dalam
keluarga kami. Namun, Amar tidak cuba bermesra dengan keluargaku. Dia seperti
tidak selesa dan tidak pernah mahu pulang ke kampungku bersama-sama kecuali di
hari lebaran. Setiap tahun, hari raya pertama dan kedua, pasti aku mengikut
Amar ke rumah keluarganya tanpa banyak soal. Aku tidak pernah persoalkan
keputusannya, kerana aku faham dia mempunyai tanggungjawab besar sebagai anak
lelaki dan anak sulung dalam keluarganya yang mana telah kehilangan ayah.
Awal kehadiran aku dalam keluarganya
juga mendapat sambutan dingin. Aku sering diperli sebagai perempuan gatal, yang
tak sabar hendak berkahwin, dan macam-macam gelaran lagi. Maklumlah, rupaku
bukanlah cantik, dan pendidikanku pula tak sehebat adik-beradiknya yang lain.
Terlalu hina aku dipandangan keluarganya. Namun aku tidak pernah mengisahkan
semua itu. Aku terima dengan hati terbuka dan redha. Itulah ‘bahagianku” yang
perlu aku tanggung. Amar tidak pernah kuadukan jika ada kata-kata pedih dari
adik beradiknya yang lain. Aku sedar siapa aku.
Aku juga tidak pernah memaksa
anak-anaknya memanggil aku emak atau mama atau ibu. Cukuplah dengan panggilan
Cik Aisyah. Biarlah panggilan itu ikhlas dari hati mereka. Bukan kerana
terpaksa. Namun setelah 4 tahun hidup sebumbung, mereka tanpa disuruh-suruh
memanggil aku “Mama”. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah.
“Uuuweek..!”Esak tangis Aqil
menyedarkan aku dari lamunan. Oh!
Kenangan yang amat menyentuh jiwa! Sudah hampir petang. Aku perlu membersihkan
Aqil.
Malam itu, Amar membelikan sate untuk
hidangan makan malam kami sekeluarga. Selesai makan, aku menemani Amar di
bilik, memandangkan Aqil tidur nyenyak.
“Abang, abang cakaplah kalau abang
ada suka kat mana-mana perempuan. Insya Allah Aisyah boleh terima. Aisyah pun
isteri abang yang ke dua. Aisyah bukanlah wanita pertama dalam hidup Abang.”
Diam seketika.
“Aisyah, abang akan beritahu kalau
abang betul-betul nak kahwin dengan sesiapa. Aisyah jangan risau. Kalau abang
ada berkenan, abang akan beritahu.”
“Habis tu, Siti Maslinda tu macam mana?
Abang tak cukup serius ke dengan dia?”
“Oh! Dia? Entahlah. Abang belum
pastilah. Kenapa ni?”
“Bukan apa bang, kalau abang tak serius,
janganlah abang layan sangat. Bahaya bang. Kalau dia betul-betul harapkan
abang, tapi abang sebaliknya, macam mana? Kesianlah pada dia bang. Datang
masalah lain pulak nanti.”
“Alahhh… Dahlah. Abang tak nak cerita
pasal nilah. Abang tak ada apa-apa.”
Aku terus diamkan diri. Masih tidak
yakin dengan jawapan dari suamiku. Aku tak mahu dia menyembunyikan semua itu
hanya untuk menjaga hatiku. Lebih baik aku mendengar kejujuran darinya walaupun
pahit. Aku pasti, cemburu akan mengusik hati ini, tapi, lebih mudah aku
menerimanya jika ia ku ketahui dari bibirnya sendiri, daripada aku
mengetahuinya dengan cara lain. Ya Allah! Perjelaskanlah semuanya kepadaku!
Aku benar-benar ingin tahu, apa
perasaan Amar kepada Siti Maslinda, dan apa pula perasaan Siti Maslinda kepada
Amar. Aku terasa seperti ingin membuat tindakan sendiri. Tapi, aku masih hormat
pada Amar.
“Ya Allah! Aku tidak mahu buruk
sangka kepada suamiku! Tapi aku tidak tahu apa yang harus aku perbuat lagi. Kau
tunjukanlah jalan kepadaku ya Allah!”
Sudah genap 40 hari aku berpantang.
Semakin sihat rasa badanku. Jamu yang aku beli dari Kak Intan itu memang
mujarab. Walaupun agak mahal, tapi ia baik untuk kesihatan dalaman dan luaran.
Esok, aku akan mula ke pejabat. Malam itu, Amar kata dia tidak mahu keluar atau
ke mana-mana, walaupun diajak oleh kawan-kawan meja kopinya. Aku hanya
tersenyum kerana aku tahu Amar penat melayan karenah kawan-kawannya itu.
“Kalau sesiapa telefon, cakap abang
dah tidur ye yang. Malam ni abang nak tengok tv dengan anak-anak. Letihlah
hari-hari layan dia orang tu… hehehe…” ujar Amar lalu membaringkan dirinya di
hadapan televisyen.
“Baik bang. Nanti Aisyah jawabkan.”
Selesai mengemas dapur, aku
bermain-main dengan Aqil yang baru bangun dari tidurnya. Semakin montel Aqil.
Kakak-kakaknya juga sibuk mengelilingi dia. Sekarang dah pukul 10, kejap lagi
tidurlah Aqil ini. Waktu berjaganya, biasanya pukul 3-4 pagi. Biasalah, bayi
sebaya ini belum dapat bezakan malam dan siang secara tepat. Tiba-tiba aku
dikejutkan oleh bunyi telefon Amar. Ku capai dan nama yang tertera adalah
SM012.
“Jawab yang, cakap abang tidur tau,”
ujar Amar tanpa mengetahui siapa yang menelefon.
Aku menjawab panggilan itu dengan
hati yang berdebar.
“Helo.” Lafazku.
“Hhh…helo,” balas suara di hujung
talian. Kedengaran agak gugup.
“Aaa…Abang Amar ada?” Sambungnya
lagi.
“Maaflah, abang dah tidur.” Aku cuba
mengawal perasaan.
“Ohh…Mmmm…okay. Tak apalah.” Talian
diputuskan.
“Siapa yang?” soal Amar dengan dahi
berkerut.
“Mmm...namanya, SM012.” Wajah Amar
berubah.
“Oh…. Apa dia kata? “
“Dia tanya abang, Aisyah cakap abang
dah tidur, dia kata, ok, tak apa.” Terangku seringkasnya, lalu menyerahkan
telefon itu kepada Amar.
Aku terus berlalu dan mendapatkan
Aqil. Fikiranku mula berputar-putar. Mula berfikir lagi tentang SM. ‘Oh! Masih
berhubung lagi rupanya mereka. Ah! Apa
lagi yang nak aku risaukan. Bukankah Amar dah kata, dia tak ada apa-apa.’ Ku
ambil Aqil dan menyusukannya. Aku mahu lupakan tentang itu. Dari jauh ku lihat
Amar yang sudah duduk, sedang rancak berSMS dengan seseorang, dan hatiku
mengatakan ia adalah SM. ‘Uh! Malaslah nak beratkan fikiran lagi. Lebih baik
mama layan Aqil, kan sayang…’
Aku membawa Aqil ke bilik, dan
menyusukannya sambil berbaring. Beberapa minit kemudian, Aqil pun tertidur. Aku
hampir-hampir terlelap. Aku perasan Amar masuk dengan perlahan-lahan, mungkin
tidak mahu mengganggu Aqil. Dia duduk di sebelahku dengan amat berhati-hati.
Aku pura-pura tidur.
“Maafkan abang yang. Abang tak ada
niat nak sakitkan hati awak. Abang sayang sangat dengan awak dan anak-anak.
Tapi, susah pula abang nak lupakan gadis ini. Abang pun berharap untuk tidak
meneruskan hubungan kami. Tapi, kami semacam susah nak berjauhan. Tentulah
abang lebih sayangkan awak, tapi abang tak boleh lupakan dia.” Bisik Amar sambil
mengusap rambutku. Aku cuba menahan getar di dada.
“Abang tak tahu nak buat apa yang.
Abang tak tahu bagaimana ingin menolak dia.” Sambungnya lagi lantas mencium
kepalaku. Airmata tidak mampu lagi kutahan. Getar badanku semakin kuat. Esak
tangisku bermula. Amar memelukku dari belakang. Dia juga menangis rupanya.
“Abang, Aisyah tak mahu melarang.
Jika hati abang dan dia sudah terpaut, tak elok dilayan tanpa ada pertalian
yang sah. Dosa bang. Zina hati bang, Aisyah tak mahu abang berdosa. Kalau abang
tak mampu kawal hati, abang bernikahlah dengan dia,” walau berat, namun berjaya
aku lafazkan.
Semakin erat rangkulan Amar.
Bertalu-talu dia mengucup kepalaku.
“Abang minta maaf sayang. Abang tidak
terfikir hendak memadukan awak. Abang keliru dengan diri abang sendiri.”
Aku cuba menghentikan esakkan ku. Aku
duduk menghadap Amar. Ku genggam tangannya.
“Abang, abang fikirkan semula. Apa
sebenarnya asas hubungan abang dengan dia. Adakah kerana nafsu? Jika benar,
mampukah abang tahan semua itu dan lupakan dia begitu sahaja? Aisyah tak mahu
abang berada di sisi Aisyah, tapi hati abang bersama dia. Tiada makna buat
Aisyah ban,” air mataku masih bercucuran.
Amar diam. Dia merenung aku
dalam-dalam.
“Apa harus abang buat Aisyah? “
“Abang dah istikharah? Aisyah tak
tahu hati abang. Aisyah tak boleh buat keputusan untuk Abang. Kalau abang
berpoligami pun, tanggungjawab yang besar adalah di bahu abang. Abang mesti
ingat semua tu. Aisyah tidak ada kuasa melarang.”
Semakin kuat genggaman Amar.
Renungannya seakan sangat mengharapkan penyelesaian dariku.
“Abang, kenalkanlah dia dengan
Aisyah. Biar kami saling mengenali, kemudian abang boleh nilai sendiri jalan
mana yang abang nak pilih.”
Amar tunduk. Entah apa yang dia
fikirkan dengan kata-kataku. Ya, aku mahu mengenali gadis yang berjaya mengusik
hati suamiku. Aku ingin mengenali hati budi yang ternyata bisa menggoyangkan
iman imamku.
Hari minggu yang tenang. Seperti
biasa, telah aku siapkan semua tugasan di rumah. Amar mengajakku keluar. Dia
minta aku bersiap. Keluar tanpa anak-anak, kecuali Aqil, katanya. Aku hanya
menurut. Dia membawaku ke Danga Bay. Kami mencari satu tempat duduk yang redup,
di bawah pokok-pokok yang merimbun. Masih awal, baru pukul 10 pagi. Amar
mendapatkan sesuatu untuk aku. Kembalinya Amar, dia membawa minuman bersama
seseorang, dan aku tahu siapa orang itu. Aku sudah mengaggak dari awal lagi.
“Aisyah, ii..iii…inilah Siti Maslinda,”
Ujar Amar dengan agak gugup. Ku lihat, gadis itu agak payah untuk membalas
pandanganku. Aku hulurkan tangan untuk bersalaman. Salam ku di sambut namun
sekejap sahaja.
“Abang, abang bawalah Aqil
pusing-pusing. Biar Aisyah berkenalan dengan dia,” ucapku dengan senyuman.
Aku cuba sedaya upaya bersahaja.
Alhamdulillah, tiada perkara buruk terlintas difikiranku. Amar bersetuju dengan
permintaanku, lalu beredar membawa Aqil.
“Apa khabar Linda? Boleh akak panggil
dengan nama tu?” Aku memulakan perbualan.
“Boleh….err… saya baik aje kak…”
jawapannya agak terketar-ketar.”
“Linda jangan lah risau. Akak tak ada
apa-apa. Kita berkenalan macam kawan aje. Okey?” ujarku yang semakin tenang.
“Ye kak.” Sambutnya.
“Akak tak mahu tahu tentang apa yang
Linda buat, contohnya kerja linda atau aktiviti linda. Itu hak linda. Akak
pasti, Abang Amar dah tahu semua tu. Kan?” Dia hanya mengangguk.
“Boleh akak terus ke perkara utama?”
Dia mengangguk lagi.
“Okay. Linda serius ke dengan Abang
Amar?” Dia memandang sekilas wajahku, lalu tunduk.
“Ya kak.”
“Keluarga Linda dah tahu ke?” Dia
menggeleng. Aku dah mengagaknya. Sebenarnya, aku tidak mahu Amar melalui lagi
satu tentangan keluarga. Aku kesiankan Amar. Cukuplah dugaan waktu kami ingin
bersama dulu. Di usianya kini, entah mampukah dia menangani semua itu lagi.
“Linda bersedia untuk berkongsi
segala-galanya? Akak tidak melarang jika abang nak meluangkan masa bersama
linda nanti. Tapi, linda juga mesti faham, abang punya anak yang ramai. Akak
tak mahu nanti linda fikir, akak menggunakan anak-anak sebagai alasan untuk
sentiasa mencuri masa abang dari linda.
Akak juga tak nafikan perasaan cemburu akak ada. Akak cuma wanita
biasa.”
Dia diam. Wajahnya menunduk seolak
merenung jauh ke dalam bumi.
“Linda bersedia mengenali Abang Amar?
Dia ada bermacam karekter yang tersembunyi. Kalau Linda benar-benar serius, Linda
perlu bersedia juga dengan keluarga Abang. Maafkan akak, Linda. Akak bukan
hendak mengugut atau menakut-nakutkan linda dengan semua pertanyaan tadi. Cuma,
akak perlu jaga semua tu untuk kepentingan Abang Amar, keluarganya dan Linda
sendiri,” aku cuba mengukir senyuman kepada linda.
“Linda tak mahu cakap apa-apa ke? Tak
mahu tanya akak apa-apa ke? Akak tak kisah. Akak bersikap terbuka.”
Dia mengangkat wajahnya. Suasana
sunyi seketika.
“Kak. Saya tak sangka, sebegini
tenang penerimaan akak tentang perkara ini. Tak perlulah saya melihat kemesraan
akak dengan Abang Amar, saya melihat akak sendirian di sini, setenang dan
setabah ini saja, sudah membuatkan saya cemburu. Cemburu kerana saya tak
setabah ini kak. Hati saya ini meronta-ronta ingin memekakkan telinga dan tak
mahu dengar apa-apa pun yang akak katakan. Kerana saya terlalu cemburu, dan
saya tahu saya tak mungkin boleh menjadi seperti akak.” Aku diam. Kulihat
airmatanya mengalir.
“Saya sudah sangat menyayangi abang
Amar. Tapi saya tak yakin saya mampu menghadapi semua itu kak. Saya sendiri tak
pasti sejauh mana Abang Amar meletakkan hubungan kami dalam hidupnya. Salah
saya yang tidak cuba mengundur diri saat tahu dia sudah berkeluarga. Saya
sangat tertarik dengan dia.”
Aku hanya tersenyum.
“Akak faham. Abang Amar punya
karekter yang membuatkan orang mudah mesra dengannya. Berbual dengannya
membuatkan kita seronokay. Dia pandai menggembirakan hati orang lain. Dia
pandai menghilangkan serabut di kepala orang lain. Dia memang macam tu Linda.
Dengan sesiapa sahaja dia akan tersenyum dan ketawa. Dia sangat mesra dan bijak
mengubah suasana. Sebenarnya, ada beberapa perempuan lain yang pernah cuba
merapati dia. Sebelum akak, sebelum linda. Hanya dia yang tahu, siapa yang dia
mahu.”
Kami diam. Aku merenung Singapura
yang jelas kelihatan dari situ.
“Linda sudah tahu pendirian akak. Akak
terima keputusan Abang Amar seadanya. Apa juga yang bakal akak tempuhi, akak
cuba redha seikhlasnya. Akak hanya wanita biasa. Bagaimana dengan Linda?”
Dia membisu. Kulihat dari jauh Amar
semakin menghampiri kami.
“Beginilah Linda. Linda fikirlah. Apa
jua keputusannya, linda boleh berbincang dengan Abang Amar. Nasihat akak,
jangan lupa, dapatkan keizinan dari keluarga. Jangan sampai ada yang tidak
setuju dengan keputusan Linda nanti. Abang Amar pun dah sampai tu.”
Aku menghampiri Amar kerana terdengar
rengekan dari Aqil. Aku mengambil Aqil dari strollernya.
“Aqil haus agaknya bang. Minta kunci
kereta bang. Biar Aisyah susukan Aqil di dalam kereta. Aisyah tunggu abang.”
“Okay. Nanti abang datang.” Aku terus
berlalu meninggalkan mereka di situ.
Terlena Aqil selepas kenyang
disusukan. Amar tiba dengan wajah yang masih kusut. Diam tanpa sepatah kata,
dia memandu pulang.
Seminggu berlalu, rumah kami seperti
sunyi sepi. Hanya gurauan sesama anak-anak sahaja yang ada. Amar ku lihat
seperti orang bingung. Ada saja yang tak kena di matanya. Ada saja yang
membuatkan dia marah. Aku biarkan dia begitu. Tidak mahu banyak soal. Di hari
minggu begitu, anak-anak sibuk membersihkan bilik mereka, membersihkan rumah,
dan bergurau senda. Aku berbaring di bilik bersama Aqil, menghilangkan lelah
setelah bersama-sama anak-anak mengemas kawasan rumah tadi. Amar berdiri di
pintu memerhatikan gelagat Aqil yang semakin lincah menggerakkan kaki dan
tangannya. Ditangannya, Samsung Galaxy tidak pernah lepas. Sudah seminggu
begitu. Tiba-tiba tak semena-mena, Ariana masuk berlari cuba menerpa ke arah
Aqil. Tanpa sengaja dia melanggar tangan Amar dan telefon Amar terlepas dari
genggaman tangannya.
Amar kulihat, tanpa berfikir panjang
terus memukul punggung dan kaki Ariana dengan kuat. Melaung-laung Ariana
kesakitan. Mengelakkan perkara yang lebih buruk, aku terus merangkul Ariana dan
menariknya jauh dari Amar.
“Dahlah bang! Kalau ye pun marah,
janganlah pukul anak macam orang gila. Budak ni baru 4 tahun bang!” Marahku
sambil cuba mengingatkannya.
Ariana teresak-esak di dalam
pelukanku. Berbekas pukulan-pukulan dari Amar tadi. Merah di sana sini. Kesian
Ariana. Jelas kelihatan bekas pukulan itu memandangkan kulitnya yang putih
melepak. Mengalir airmataku melihat gelagat Amar. Dia mencapai telefonnya dan
memeriksa kerosakannya. Aku terus memujuk Ariana.
“Sudahlah Ariana. Tak mau nangis lagi
ye. Mama ada. Ayah tengah banyak masalah. Ariana janganlah buat macam tu lagi.
Kesian Ayah. Dia bukan marah pada Ariana. Dia marah pada diri sendiri. Ayah
sayang Ariana tau,” pujukku.
Amar merenungku. Tiba-tiba terpancar
rasa bersalah di wajahnya. Dia memeluk Ariana. Dia mendukung Ariana dan
membawanya keluar sambil terus memujuk Ariana yang cuba melepaskan diri dari
pelukannya. Aku hanya memerhatikan dari jauh. Airmataku mula mengalir. Amar
berubah ke? Ya Allah! Janganlah Kau jauhkan hati kami! Kau teguhkanlah ikatan
kasih antara kami Ya Allah!
Lebih kurang setengah jam kemudian,
Amar muncul dengan Ariana yang telah terlelap di bahunya. Dia membaringkan
Ariana di sebelah Aqil. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan
dengan aku.
“Baca ni.” Katanya lalu menghulurkan
telefonnya kepadaku. “SMS dari Linda.”
Aku mencapainya dan terus membaca.
‘Abang. Cukuplah setakat ini sahaja.
Linda ingin mengundur diri. Rasanya, Linda tak mampu berkongsi Abang. Linda
juga tak mahu merampas Abang, kerana Linda tahu Abang sangat bahagia bersama
anak-anak dan isteri sebaik Kak Aisyah. Linda pasti, sekuat manapun Linda
berusaha, Linda tak mungkin akan jadi sehebat kak Aisyah. Abang telah temui
harta yang amat bernilai dalam hidup Abang. Jagalah ia sebaik-baiknya. Terima
kasih atas semua masa dan perhatian dari abang selama ini. Minta halal
semuanya. Sampaikan salam Linda kepada kak Aisyah. Linda akan jadikan kak
Aisyah sebagai contoh seorang muslimah yang bermaruah.’
Aku tidak tahu bagaimana reaksi yang
sepatutnya. Aku memandang ke arah Amar. Dia menggenggam tanganku.
“Abang tahu abang punya isteri yang
baik. Tapi abang tak sangka abang punya isteri yang sangat mulia. Ketulusan dan
keikhlasan Aisyah telah memudahkan semuanya.”
“Abang boleh terima ke keputusan
Linda? Mampukah Abang lupakan Linda?”
“Abang yakin, bersama Aisyah, Abang
mampu lakukan apa sahaja. Terima kasih Aisyah. Abang tidak akan mengulangi
semua ini lagi.”
“Abang, Aisyah tak mahu abang menabur
janji. Masa depan tak mungkin kita ketahui. Apa yang Aisyah mahu, cuma
kejujuran dari Abang. Janganlah rahsiakan apa-apa dari Aisyah. Aisyah sedia
terima walau apa pun dari Abang.”
Genggaman Amar semakin erat. Aku
dirangkul dalam pelukannya. Hangat kasih sayang kami kembali membara.

