"Orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Jadi, bila anda dukacita carilah orang lain dan gembirakanlah mereka. Nanti hati anda juga akan turut gembira."
Buku Laa Tahzan karangan Aid al-Qarni ditutup dan diletakkan disudut kiri meja tulis. Fikiran menerawang kepada dialog saya dengan 'junior' di ITM dahulu. Dia datang bertandang ketika Aidilfitri baru-baru ini.
"Bagi saya, kahwin ni memang satu penghambaan. Ini apa yang saya rasakan."
Terkejut juga saya mendengarnya. Wanita usia sekitar 30-an ini begitu berterus terang. Saya tanyakan mengapa dia katakan begitu, dia terus menjawab:
"Suami tidak pernah hargai saya. 20 tahun kahwin, langsung tak pandai nak berterima kasih."
"Cuba Abang Det bayangkan, jika isteri 'claim' semua kerja yang dilakukan dalam sebuah rumahtangga. Agak-agak mampukah suami nak membayar?"
"Isteri 'claim'?" tanya saya. Pelik rasanya.
"Ya la, bayaran untuk cuci baju, masak, kemas rumah, layan anak. Rasanya lebih dari RM 1,000."
"Yang tu semua tak masuk lagi 'claim' melayan suami," saya menambah.
"Itu pun suami tak tahu kenang budi. Sanggup dia sakitkan hati isteri. Dah la tak pandai nak berterima kasih. Cuba congak tengok, jika sebulan RM 1,000, darab pula dengan 20 tahun."
"Erni, sabarlah. Salah cara kau fikir tu..." saya perlahankan suara seakan memujuk.
"Kenapa?"
"Kalau kau mula fikir begitu, jatuhlah status seorang isteri. Daripada seorang isteri menjadi orang gaji, risau pula takut jadi yang lebih buruk, er...seorang pelacur."
Dia diam. Jauh merenung.
"Hanya orang gaji je yang dibayar gaji untuk khidmat mereka. Diorang buat semua tu hanya untuk dapat ganjaran. Seorang isteri pula, buat semua itu bukan kerana wang tetapi kerana kasih sayang, cinta dan kemesraan."
"Tapi saya marah."
"Sabarlah ya. Itu namanya ujian pada keikhlasan kita. Jika bahasa orang motivasi, praktikal 'cinta tanpa syarat' dalam sebuah rumahtangga. Tergamak ke seorang ibu minta upah menyusukan anak sendiri? Sampai hati ke seorang isteri menuntut ganjaran melayan suami? Semua tu bukankah dibuat dengan kasih sayang."
"Saya tak gembira, terseksa!"
"Terseksa dengan perkahwinan?"
Dia mengangguk.
"Ini kerana awak sudah tak gembira ketika memberi."
"Rasa diri ini malang. Diri saya tak dihargai."
"Ish, tidak dihargai tu bukan malang. Paling malang tu bila kita tak menghargai."
Riak mukanya seperti terkejut. Mimik wajahnya seakan meminta penjelasan lanjut.
"Punca kita tidak dihargai ialah bila kita tidak menghargai. Hargailah apa yang kita ada. Tanggungjawab tu laksanakan dengan kasih sayang sekalipun kita merasa seolah tak disayangi. Membuat kebaikan akan menjadikan kita gembira dengan syarat kita lakukannya dengan kasih sayang."
"Walaupun suami tidak menyayangi kita lagi?"
"Awak pasti ke? Apa pun, buatlah dengan keikhlasan. Memberi bukan untuk menerima sekali pun kasih sayang suami. Itu baru namanya keikhlasan. Jika benar dia berubah, jangan sampai ia mengubah kita. Tetapi awak usahakanlah agar perubahan kita yang akan merubah dirinya," selesai penjelasan panjang saya.
"Awak patut bersyukur kerana masih ada peluang kedua untuk menambah kembali rencah dan rempah "seronok" di dalam perkahwinan. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti akan berbau harum. Jangan risau jika manusia tak hargai kita, tetapi risaulah bila kita benar-benar sudah tiada harga disisi Allah."
Saya lihat air mata Erni mula bergenang. Dia mengetapkan bibir dan tertunduk agak lama.
"Ya Allah, selama ini, saya hanya memandang dari sisi saya. Saya tidak cuba melihat sisi lain akibat perbuatan saya."
Dia tersenyum tanda setuju dan bersemangat untuk pastikan peluang kedua dari Allah tidak akan dipersiakannya. Saya panjatkan doa semoga dia, saya dan kita semua membina rumahtangga dengan keikhlasan iaitu memberi kerana Allah.
Penulis : Bang Long
